5 ~ Apabila Khun Nai Ke... Seoul ~ Part 5 ~
~ 5 ~
Selesai menunaikan
solat subuh di bilik hotel, Khun Ezry dan Khun Muaz turun ke lobi. Di lobi
hotel, En. Rafiq sudah sedia menunggu mereka berdua untuk pergi bersarapan di
sebuah restoran muslim yang tidak jauh kawasan hotel tersebut. Nasib baik En.
Rafiq agak arif dengan kawasan di situ, jika tidak… tak tahulah apa yang hendak
mereka sarapankan.
Jam tepat
menunjukkan pukul 9 pagi. Bandaraya Seoul dipenuhi oleh rakyatnya yang
melakukan aktiviti dan pekerjaan masing-masing. Selesai bersarapan, En. Rafiq
dihubungi oleh En. Kim yang bertanya di mana mereka berada.
“En. Kim, kami
berada di sebuah restoran muslim berdekatan sini.” En. Rafiq memberitahu En.
Kim di mana mereka berada. Tidak lama kemudian, En. Kim datang kepada mereka.
“Hari ini,
tuan-tuan bercadang hendak ke mana? Semalam kita sudah ke Myeongdong.” Tanya
En. Kim kepada Khun Ezry, En. Rafiq dan Khun Muaz. Mereka hanya terdiam sambil
memikirkan sesuatu. Melihatkan keadaan itu, En. Kim mengeluarkan beberapa flyer
pelancongan kepada mereka.
Dalam flyer-flyer tersebut dinyatakan pelbagai
tempat pelancongan yang menarik dan mesti dilawati oleh para pelancong yang
datang ke Korea. Khun Ezry melihat setiap satu flyer yang ditunjukkan kepadanya. Khun Ezry menjumpai suatu tempat
lalu ditunjukkan kepada En. Kim, En. Rafiq dan Khun Muaz. Mereka kelihatan
bersetuju untuk ke tempat itu lalu tanpa membuang masa mereka bertolak dengan
segera. Pelbagai keindahan pemandangan bumi Korea dinikmati mereka sepanjang
perjalanan ke destinasi yang dituju.
Tidak berapa lama
kemudian, mereka tiba di perkarangan Istana Gyeongbokgung yang merupakan salah
satu destinasi pelancongan di Korea. Istana Gyeongbokgung ini terletak di
daerah Jongno-gu, Seoul. Itulah tempat yang Khun Ezry nyatakan kepada En. Kim,
En. Rafiq dan Khun Muaz sewaktu mereka bersarapan pagi tadi.
Ketibaan mereka
disambut dengan hormat oleh beberapa kakitangan di situ. “Selamat sejahtera dan
hwangyong hamnida ke Istana Gyeongbokgung, tuan-tuan semua.”
Ucap salah seorang kakitangan di situ sambil melakukan tunduk hormat orang
Korea. Kelihatannya beliau seperti seorang kakitangan yang penting di Istana
Gyeongbokgung.
“Selamat sejahtera dan terima kasih di atas
sambutan ini, En. Lee.” Balas En. Rafiq berbahasa Korea sambil melakukan tunduk
hormat. Khun Ezry dan Khun Muaz turut melakukannya. Mereka berdua berasa kagum
dan agak terkejut dengan sambutan tersebut. Merasakan ada sesuatu yang luar
biasa, Khun Ezry memandang ke arah En. Rafiq.
“Rafiq, kamu yang
merancang ini dengan En. Kim , betul tak?” Tanya Khun Ezry. En. Rafiq
tersenyum.
“Sememangnya...”
Ujar En. Rafiq ringkas. Khun Ezry hanya tersenyum dan mengangguk. En. Rafiq
sentiasa membuat kejutan buat dua orang sepupunya itu.
Setelah itu, En.
Lee dengan diringi beberapa orang kakitangan yang lain membawa Khun Ezry, En.
Rafiq dan Khun Muaz serta En. Kim melawati setiap ruang di dalam kawasan istana
tersebut. “Menurut catatan sejarah, Istana Gyeongbokgung ini dibina oleh raja
dari Dinasti Joseon atau Chosun pada tahun 1395. Istana ini merupakan antara
Lima Istana Agung yang dibina oleh Dinasti Joseon. Ianya dijadikan sebagai
kediaman dan pusat pemerintahan rasmi diraja Dinasti Joseon sehingga ianya
terbakar ketika berlakunya Perang Imjin iaitu semasa serangan Jepun ke atas
Korea. Istana ini juga terbiar selama dua kurun setelah itu dan pada tahun
1867, ianya dibina semula dibawah kepimpinan Putera Heungseon Daewongun…” En.
Lee menerangkan sedikit sebanyak berkenaan sejarah Istana Gyeongbokgung itu.
Mereka kemudiannya
dibawa ke pejabat pengurusan Istana Gyeongbokgung. Mereka dihidangkan dengan
air teh hijau gaya Korea bagi menghilangkan kehausan. Setelah merasakan
kehausannya hilang, Khun Ezry keluar untuk bersiar-siar sendirian di sekitar
kawasan Istana Gyeongbokgung itu. Dengan dikelilingi oleh taman-taman yang
indah dan bunga-bungaan yang mekar menghijau, ianya memberikan ketenangan
kepada Khun Ezry.
“Masya Allah…
indahnya taman ini.” Ucap Khun Ezry sambil menghirup udara yang segar di situ.
Khun Ezry meneruskan langkahnya. Dia menelusuri satu kawasan ke satu kawasan
lain. Tiba-tiba dia terperasankan seorang gadis bertudung litup yang sedang
menangkap gambar-gambar pemandangan di sebuah taman di situ. Khun Ezry
mengamati gadis itu dari jauh. Gadis tersebut seperti pernah dilihatnya sebelum
ini. Tergerak hati Khun Ezry untuk mendekati gadis tersbut namun apabila dia
ingin merapatinya, ada seseorang memanggil gadis itu seperti ada sesuatu yang
mustahak.
Dengan
tergesa-gesa, gadis itu menyimpan kameranya ke dalam beg sandangnya lalu dia berlari
keluar dari istana itu. Sewaktu gadis itu berlari keluar, salah satu lensa
kameranya terjatuh dari beg sandangnya. Khun Ezry dengan segera mengambilnya
lalu cuba mendapatkan gadis itu bagi mengembalikan lensa kameranya. Namun,
gadis itu telah pergi dari Istana Gyeongbokgung bersama rombongannya.
“Alamak! Dia dah
pergi pula. Hmmm…” Keluh Khun Ezry lalu dia kembali ke pejabat pengurusan
Istana Gyeongbokgung dan menyerahkan barang tersebut. Bersama lensa kamera itu,
Khun Ezry menyertakan satu nota kecil.
“Jika pemiliknya
datang mengambil lensa ini, tolong serahkan juga nota ini ya. Gomabseubnida.” Khun Ezry berpesan
kepada kakitangan di situ.

Comments
Post a Comment