7. Hanbok VS Baju Melayu ~ Part 7 ~
~
7 ~
Hari itu merupakan hari terakhir Fiqri dan
Maisarah berada di Seoul. Fiqri bercadang untuk ke Pasar Namdaemun dan
Myeongdong. Kebetulan pada hari itu, Hazwan terpaksa ke Gwangju kerana
mempunyai urusan di sana. Fiqri kebuntuan untuk meminta bantuan siapa. Sedang
dia berfikir di ruang tamu, tiba-tiba Maisarah datang sambil membawa secawan
air mocha panas untuknya.
“Abang, ini air mocha untuk abang.” Ujar
Maisarah sambil menghulurkan air mocha itu kepada abangnya. Fiqri segera
mengambil dan menghirupnya sedikit.
“Terima kasih, Mai.” Ucap Fiqri. Maisarah
hanya mengangguk dan tersenyum. Dia lantas duduk bersebelahan abangnya.
“Hari ini abang ingat hendak ke Namdaemun
dan Myeongdong tapi Abang Hazwan pula ada urusan penting di Gwangju. Siapa yang
boleh bantu kita ke sana?” Fiqri menerangkan perancangannya kepada Maisarah.
Maisarah terdiam dan berfikir.
“Abang! Kak Qaisarah dan Jung Shiya kan
ada. Kita boleh minta bantuan mereka. Macam mana?” Cadang Maisarah pula.
Fiqri pula terdiam sejenak. “Mereka tak
sibukkah hari ni, Mai? Kalau mereka sibuk, tak mengapalah.”
“Tak mengapa, abang. Nanti Mai hubungi
Shiya.” Jawab Maisarah lalu bingkas bangun. Dia segera menghubungi Jung Shiya.
Hampir lima minit juga mereka berbual dan tidak lama kemudian, Maisarah kembali
kepada Fiqri.
“Macam mana, Mai? Bolehkah?” Fiqri segera
bertanya kepada Maisarah.
Maisarah mengangguk dan tersenyum. “Boleh,
abang. Lagipun, Kak Qaisarah tidak bekerja selama seminggu.” Fiqri hanya
tersenyum.
Tengah hari itu, seperti yang dirancang,
Fiqri dan Maisarah pergi ke Pasar Namdaemun dan Myeongdong bersama Yuri
Qaisarah dan Jung Shiya. Maisarah amat teruja apabila tiba di sana. Fiqri juga
begitu namun dia menyembunyikan perasaannya itu. Mereka membeli pelbagai
barangan seperti cenderahati buatan tempatan.
Jung Shiya agak terkejut apabila melihat
Maisarah. “Wah! Mai, banyak betul barang yang kau beli.”
Maisarah tersengih seraya berkata, “Aku
belikan untuk ummi, Abang Fayyad dan Kak Anis. Kemudian, adalah sikit untuk aku
sendiri.
“Yalah tu. Entah-entah kau nak berikan pada
si dia...” Usik Jung Shiya sambil tertawa kecil.
“Kau ni, Shiya. Mana adalah.” Jawab
Maisarah. Mereka berdua terus menelusuri lorong-lorong di Pasar Namdaemun.
Manakala Fiqri ditemani oleh Yuri Qaisarah. Mereka turut menelusuri beberapa
lorong di pasar tersebut.
Sedang mereka berdua berjalan, Fiqri
terperasankan sebuah kedai yang menarik perhatiannya. Fiqri segera menuju ke
kedai itu. Yuri Qaisarah yang tidak menyedari Fiqri menyinggahi di kedai itu
terus berjalan.
“Cantik juga barang ini.” Puji Fiqri
sendirian. Dia lantas membeli barang itu.
Sejurus Fiqri keluar dari kedai itu, Yuri
Qaisarah segera mendapatkannya. “Awak ke mana tadi, Fiqri? Risau saya tahu
tak.”
Fiqri hanya tertawa kecil. “Risau juga awak
pada saya ya.”
“Saya risaulah sebab awakkan tidak
‘familiar’ dengan kawasan ini.” Ujar Yuri Qaisarah. Fiqri hanya tersenyum dan
mengangguk. Mereka kemudiannya meneruskan berjalan di lorong itu.
“Sebenarnya saya risaukan awak sebab saya
sayangkan awak, Fiqri...” Yuri Qaisarah berkata sendirian.
“Apa dia, Qaisarah? Awak ada sesuatukah?”
Tiba-tiba Fiqri bertanya. Yuri Qaisarah terdiam sebentar lalu melihat ke arah
Fiqri.
“Eh! Mana adalah. Itukan bunyi perbualan
orang ramai di pasar ini.” Jawab Yuri Qaisarah yang cuba menyembunyikan apa
yang dikatakannya tadi. Fiqri hanya mengangguk.
Menjelang senja, Yuri Qaisarah dan Jung
Shiya membawa Fiqri dan Maisarah ke Jambatan Banpo. Di sana, mereka bersama
menikmati pemandangan matahari terbenam yang indah. Fiqri segera menangkap
beberapa gambar pemandangan indah itu. Sesekali dia menangkap gambar Yuri
Qaisarah tanpa disedari oleh Yuri Qaisarah.
“Cantikkan pemandangan ini, Fiqri.” Ujar
Yuri Qaisarah. Jelas riak gembira di wajahnya.
“Ya, sememangnya, Qaisarah. Secantik wajah
awak...” Ujar Fiqri pula. Mendengar kata-kata Fiqri, Yuri Qaisarah berasa agak
segan dan terkejut. Dia segera menatap wajah Fiqri. Fiqri pula tidak sedikitpun
menoleh ke arahnya.
“Apa maksud awak, Fiqri? Boleh saya tahu?”
Yuri Qaisarah segera bertanya. Fiqri segera menoleh Yuri Qaisarah. Dia menatap
lama wajah wanita bertudung litup di hadapannya itu.
“Yuri Qaisarah, sudah lama saya memendam
dan menyembunyikan perkara ini. Saya rasa sudah tiba masanya saya berterus-terang
pada awak.” Fiqri memulakan bicaranya. Yuri Qaisarah mendengar dengan penuh
teliti. “Saya hendak awak tahu yang saya...”
Tiba-tiba ada seorang lelaki memanggil nama
Yuri Qaisarah. Mereka segera menoleh ke arah lelaki itu yang berada tidak jauh
dari mereka berdua. Agak terkejut Yuri Qaisarah melihat lelaki itu.
“Amir Lee Won?” Yuri Qaisarah tertanya
sendirian. Fiqri pula hanya mendiamkan dirinya. Amir Lee Won segera mendekati
mereka berdua.
“Qaisarah, seharian saya mencari awak.
Rupa-rupanya awak berada di sini.” Ujar Amir Lee Won.
Yuri Qaisarah terdiam sebentar. “Tadi saya
bawa Fiqri dan adiknya berjalan-jalan di Pasar Namdaemun dan Myeongdong. Kenapa awak mencari saya?”
Amir Lee Won segera memandang ke arah
Fiqri. Yuri Qaisarah segera memperkenalkan mereka. “Amir, kenalkan ini Fiqri.
Anak saudara kepada Pn Aisyah.”
Amir Lee Won bersalaman dengan Fiqri.
Sambung Yuri Qaisarah lagi, “Dan Fiqri, kenalkan ini Amir Lee Won. Dia
merupakan...”
“Merupakan tunang Qaisarah.” Celah Amir Lee
Won. Fiqri dan Yuri Qaisarah berasa terkejut dengan kenyataan Amir Lee Won itu.
Fiqrilah yang paling rasa terkejut dan tersentap dengan kenyataan itu. Riak
wajahnya segera berubah.
“Yakah? Saya tidak tahupun perihal itu.
Qaisarah juga tidak pernah memberitahu saya.” Ujar Fiqri pula setelah agak lama
terdiam. Amir Lee Won hanya tersenyum. Yuri Qaisarah pula hanya memandang ke
arah Fiqri. Dia berasa seakan-akan nafasnya disekat. Namun dia menyembunyikan
perasaannya itu.
“Tapi...” Yuri Qaisarah cuba bersuara namun
terhalang oleh Amir Lee Won.
“Tidak lama lagi kami akan melangsungkan
perkahwinan. Oleh itu, jika awak tidak keberatan silalah ke majlis perkahwinan
kami nanti.” Jemput Amir Lee Won.
“Insya Allah jika saya tiada masalah...”
Ujar Fiqri sambil mengangguk dan tersenyum kelat. Yuri Qaisarah terus
mendiamkan dirinya.
Tidak lama kemudian, Maisarah dan Jung
Shiya mendatangi mereka. Fiqri yang sudah tidak mahu berada di situ dengan
lebih lama segera memberi isyarat kepada Maisarah untuk beredar dari situ.
Kebetulan pada waktu itu, Hazwan baru sahaja tiba di Jambatan Banpo dari
Gwangju. Fiqri segera meminta diri lalu beredar dengan segera bersama Maisarah.
Tiada satu kata-kata pun yang keluar dari mulutnya untuk Yuri Qaisarah. Yuri
Qaisarah hanya terdiam. Dia seakan-akan buntu dan kaku dengan apa yang sedang
terjadi.
Bersambung....

Comments
Post a Comment